Jumaat, 10 Jun 2011

DEFINISI PENGGUNA LESTARI.

Definisi Pengguna Lestari.

Definisi pengguna lestari bermaksud "menggunakan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan asas ke arah mencapai kualiti hidup yang lebih baik, pada masa yang sama meminimumkan penggunaan sumber asli, bahan toksik dan pengeluaran buangan dan bahan pencemar supaya tidak menggugat keperluan generasi akan datang".

Ciri-ciri Pengguna Lestari.
Amalan penggunaan lestari merupakan satu konsep yang amat mudah dan untuk dipraktikkan oleh golongan pengguna. Pengamalan ciri-ciri ini bukan sahaja dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih sihat dan pengekalan kehijauan alam malah mampu menjimatkan perbelanjaan. Antara ciri-ciri utama amalan penggunaan lestari adalah:
  1. Menggalakkan perbelanjaan berhemat.
  2. Menjimatkan penggunaan sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti air, tenaga dan bahan bakar fosil.
  3. Menggunakan bahan-bahan yang tidak menyebabkan impak negetif terhadap alam sekitar.
  4. Menggunakan teknologi yang bersih dan mesra alam.

Amalan Pengguna Lestari.
  1. Membawa beg sendiri untuk mengisi barangan yang dibeli ketika membeli belah.
  2. Kumpulkan kertas yang telah digunakan dan dihantar ke pusat kitar semula.
  3. Elakkan daripada menggunakan bahan berasaskan polisterin kerana ia tidak boleh dibiodegradasikan.
  4. Beli tanaman keluaran tempatan.
  5. Gunakan lampu kalimantang kerana ia kurang penggunaan tenaga elektrik dan tahan empat kali lebih lama berbanding mentol lampu biasa.
  6. Kurangkan pembuangan sampah sarap dan jangan gunakan produk pakai buang seperti pinggan dan cawan kertas.
  7. Tutup televisyen, radio dan komputer apabila tidak digunakan.
  8. Elakkan membuka peti sejuk terlalu kerap kerana ia meningkatkan penggunaan elektrik.
  9. Menjimatkan penggunaan air yang sekali gus dapat menjimatkan juga penggunaan tenaga elektrik, kerana proses membekalkan air dan menyaringkan sisa kumbahan menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Khamis, 9 Jun 2011

SIAPAKAH PENGGUNA?

Pengguna merupakan seseorang yang menggunakan barangan, perkhidmatan dan sumber
semulajadi untuk kepuasan hidup secara umum.

Dalam definisi ini, terdapat tiga konsep penting yang perlu diambilkira:
  • Pertama, apabila kita berbicara tentang pengguna kita merujuk pada seseorang. Dalam konteks ini, daripada raja hinggalah fakir miskin dan daripada yang muda hinggalah tua, adalah pengguna. Ahli perniagaan juga merupakan pengguna. Seorang ahli perniagaan memainkan dua peranan. Sebagai ahli perniagaan, ia merupakan pembekal barangan dan perkhidmatan. Sebagai pengguna, ia merupakan pengguna barangan, perkhidmatan dan sumber semulajadi.

  • Kedua, kita menggunakan barangan, perkhidmatan dan sumber semulajadi. Lazimnya, penggunaan
    secara semulajadi seperti udara dan air yang bersih serta persekitaran yang sihat selalunya tidak
    dimasukkan dalam mendefinisikan pengguna. Kita tidak seharusnya lupa bahawa kepenggunaan
    bukan setakat barangan dan perkhidmatan sahaja tetapi juga hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan bersih juga merupakan prasyarat penting untuk kualiti hidup yang sihat.

  • Ketiga, tujuan penggunaan adalah untuk mendapatkan kepuasan bagi keperluan dan kehendak dalam menjalani kehidupan yang selesa secara keseluruhan. Walaupun kita tidak membayar untuk barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma, kita sebagai pengguna berhak untuk menggunakan barangan dan perkhidmatan yang selamat dan memuaskan dalam menjamin kehidupan yang selesa. Satu contoh yang baik ialah perkhidmatan oleh kerajaan. Kerajaan yang memerintah secara demokrasi, adalah menjadi pembekal utama kepada perkhidmatan masyarakat seperti undang-undang dan peraturan, pelaksanaan keadilan dan perkhidmatan lain.